Bezakan Subsidi dengan Tanggungjawab Sosial Kepada Rakyat

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa kerajaan BN tidak tahu membezakan di antara tanggungjawab sosial dan pemberian subsidi kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan silap apabila mencampur adukkan soal tanggungjawab mereka dengan pemberian subsidi untuk mengurangkan beban rakyat.

Ini katanya dapat dilihat dalam pengagihan subsidi yang dilakukan kerajaan sejumlah RM74 bilion iaitu RM42 bilion dalam bidang sosial, RM23.5 bilion dalam bidang tenaga dan bahan api, RM4.8 bilion untuk infrastruktur dan RM3.4 bilion untuk makanan.

“Kerajaan selalu berhujah mereka terlalu banyak menampung subsidi iaitu sebanyak 74 bilion setahun yang menyebabkan kerajaan kata terpaksa mengurangkan subsidi.

“RM3.4 bilion untuk makanan berbanding perkara lain, ini terlalu kecil umpamanya RM42 bilion dalam bidang sosial, kerajaan tidak boleh menganggap ini sebagai subsidi tetapi sebaliknya ini tanggungjawab sosial kerajaan, sama juga soal pendidikan dan kesihatan.

“Isunya ialah adakah kerajaan nak mengatakan RM42 bilion itu tanggungan yang besar lalu kerajaan terpaksa tarik subsidi dalam bidang lain yang lebih penting?

“Kerajaan sudah menggabungkan tanggungjawab mereka dengan pemberian subsidi. Ini tidak wajar,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kenaikan harga barangan.

Sebaliknya beliau berkata kenaikan harga barang ditentukan oleh pasaran dunia.

Beliau berkata demikian dipercayai sebagai mengulas penubuhan Kempen dan Kelab Protes Barang Naik (Protes BN) oleh PAS Sabtu lalu.

Mahfuz yang juga Pengerusi Protes BN kecewa dengan kenyataan demikian yang dianggap sebagai cuba melarikan diri daripada isu sebenar.

“Saya terkejut seorang menteri boleh keluarkan kenyataan sebegini rupa yang hanya melihat kepada satu faktor iaitu kenaikan harga pasaran dunia.

“Saya tak tahulah yang dimaksudkan harga pasaran dunia termasuk juga dengan kangkung, dengan halia yang menyebabkan berlaku kenaikan harga,” katanya berseloroh.

Ujar Mahfuz, meskipun kenaikan harga pasaran duni menjadi salah satu faktor kenaikan harga barang, namun ianya boleh dikawal sekiranya kerajaan bijak menguruskan ekonomi negara dan bersungguh-sungguh untuk mengurangkan beban rakyat.

“Sepatutnya menteri dapat fahami kenapa PAS tubuhkan kelab protes BN ini. Kita bukan hanya melihat kepada harga barang naik tapi peningkatan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

“Kalau pun berlaku kenaikan harga barang di peringkat global tapi kalau kerajaan bijak menguruskan ekonomi dan kewangan dan berhasrat membantu rakyat mereka dapat menambah pemberian subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga barang,” katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, dalam apa jua keadaan, rakyat sentiasa menjadi mangsa sedangkan syarikat-syarikat besar terus mengumpul kekayaan.

“Kerajaan selalu gunakan alasan bila berlaku kenaikan harga pasaran minyak antarabangsa kerajaan kata tak ada jalan lain melainkan menaikan harga kerana tak mampu menanggung beban subsidi yang berlebihan.

“Tapi bila harga pasaran turun kerajaan kata harus perlu menstabilkan harga akhirnya rakyat terus jadi mangsa dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kempen Protes BN akan diteruskan dan mengalu-alukan penyertaan rakyat. – Sumber Harakahdaily

Advertisements
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s